Latihan Industri (LI) merupakan komponen penting bagi pelajar Diploma semester akhir di Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS). Setiap pelajar semester 6 diwajibkan untuk menjalani latihan industri sebagai salah satu syarat utama bagi melayakkan mereka menerima penganugerahan Sijil/Diploma. Tempoh latihan industri yang ditetapkan adalah selama 5 bulan, bersamaan 20 minggu, iaitu dari 6 Januari 2025 hingga 23 Mei 2025. Sepanjang tempoh ini, pelajar akan ditempatkan di organisasi atau firma yang bersesuaian dengan bidang pengajian mereka. Melalui latihan industri, pelajar dapat mendalami ilmu serta memperoleh pengalaman secara langsung dalam suasana pekerjaan sebenar. Selain itu, latihan ini memberi peluang kepada pelajar untuk mengaplikasikan teori yang dipelajari di institusi ke dalam amalan kerja secara praktikal. Para pelajar juga dikehendaki mematuhi peraturan serta disiplin yang ditetapkan oleh organisasi selain memastikan kehadiran dan skop kerja dipatuhi dengan baik sepanjang tempoh latihan.
Di samping itu, latihan industri bertujuan memberi pendedahan awal terhadap alam pekerjaan, yang mana persekitarannya jauh berbeza daripada suasana akademik. Melalui pengalaman ini, pelajar dapat menyesuaikan diri dengan cabaran dunia pekerjaan, membiasakan diri dengan sistem kerja, serta memperkukuhkan kemahiran yang telah dipelajari sebelum ini. Kemahiran komunikasi juga dapat dipertingkatkan melalui interaksi bersama rakan sekerja dan majikan, sekaligus membentuk semangat kerja yang produktif dan membina hubungan yang lebih erat dalam pasukan.
Selain daripada memperkukuhkan kemahiran teknikal, latihan industri turut membantu pelajar dalam membina sikap tanggungjawab dan amanah terhadap tugasan yang diberikan oleh majikan. Sifat yakin diri juga dapat diterapkan dalam diri pelajar apabila mereka berjaya menyelesaikan tugasan dengan baik. Di samping itu, latihan ini memberi peluang kepada pelajar untuk mengenal pasti tahap keupayaan mereka dalam melaksanakan tugas yang berkaitan dengan bidang yang bakal diceburi kelak.
Sepanjang latihan industri, pelajar bukan hanya melaksanakan tugasan yang diberikan, tetapi juga digalakkan untuk menyumbangkan idea serta cadangan yang boleh memberi manfaat kepada organisasi. Ini bukan sahaja memberikan kelebihan kepada pelajar dalam membangunkan daya kreativiti dan inovasi, tetapi juga memberi manfaat kepada pihak majikan. Dengan sumbangan idea baharu daripada pelajar, organisasi dapat memperkukuhkan proses kerja mereka. Secara tidak langsung, ini juga mencerminkan kejayaan Politeknik dalam melahirkan graduan yang berdaya saing dan mampu memberi impak positif kepada industri.
Keseluruhannya, latihan industri memainkan peranan penting dalam membantu pelajar mempersiapkan diri untuk alam pekerjaan. Selain mendapatkan pengalaman industri secara langsung, latihan ini juga melatih pelajar dalam menyediakan laporan rasmi kepada Politeknik mengikut piawaian yang ditetapkan. Latihan industri bukan sekadar keperluan akademik, tetapi merupakan satu langkah awal dalam membentuk kerjaya masa depan yang lebih cemerlang bagi setiap pelajar.