Sepanjang tempoh latihan industri ini, saya telah diberi peluang untuk terlibat secara langsung dalam pembangunan dan penambahbaikan sistem Timesheet Management System (TMS) menggunakan platform ServiceNow di bawah jabatan IT. Projek ini bertujuan untuk menggantikan kaedah pengurusan timesheet manual kepada sistem digital yang lebih efisien, sekaligus meningkatkan ketelusan, ketepatan dan kecekapan dalam pengurusan data kerja harian pekerja.
Sepanjang pelaksanaan tugas, saya telah menjalankan pelbagai penambahbaikan terhadap borang Timesheet, Timecard, dan Monthly Timesheet termasuk dari aspek logik kelulusan, paparan dinamik, serta integrasi peranan pengguna yang kompleks. Selain membina borang baharu seperti Timecard Services, Project dan Man-day Rate, saya juga menguruskan kawalan akses, automasi pengiraan jam kerja dan konfigurasi aliran kelulusan menggunakan Business Rules, Script Includes, Client Scripts, dan UI Actions. Dalam masa yang sama, saya turut menggunakan HTML dan JavaScript untuk tujuan penyesuaian antaramuka dan penyempurnaan fungsi dalam borang serta pengalaman pengguna melalui Workspace Experience.
Latihan ini bukan sahaja memberi pendedahan mendalam terhadap pembangunan sistem sebenar dalam persekitaran korporat, malah mengasah kemahiran teknikal dan komunikasi, menyemai disiplin kerja, serta memperkukuh kefahaman terhadap pengurusan projek IT secara menyeluruh. Pengalaman ini secara langsung telah menyediakan asas yang kukuh bagi saya untuk melangkah ke alam kerjaya sebagai pembangun sistem yang bersedia menghadapi cabaran industri.
Menyediakan garis panduan yang jelas untuk syarikat mengenai latihan industri bagi memastikan keseragaman dalam pelaksanaan.
Memberikan pendedahan awal kepada pelajar mengenai syarikat dan budaya kerja sebelum latihan bermula.
Mewujudkan sistem pemantauan dan penilaian berkala bagi menilai perkembangan pelajar sepanjang tempoh latihan.
Menawarkan sokongan berterusan melalui sesi pemantauan dan bimbingan bagi memastikan pengalaman latihan yang lebih efektif.
Memberikan sepenuh perhatian dan komitmen terhadap tugasan yang diberikan oleh syarikat.
Menggunakan segala kemudahan syarikat dengan penuh tanggungjawab bagi memaksimumkan pembelajaran.
Menunjukkan sikap proaktif dalam menimba ilmu dengan mencari maklumat tambahan berkaitan bidang kerja.
Mempertingkatkan kemahiran komunikasi serta membina hubungan baik dengan penyelia dan rakan sekerja untuk pengalaman yang lebih bermakna.
Kesimpulan
Secara keseluruhannya, cadangan-cadangan ini bertujuan untuk meningkatkan keberkesanan latihan industri agar memberi manfaat yang maksimum kepada pelajar dan syarikat. Politeknik perlu menyediakan garis panduan yang jelas bagi memastikan latihan berjalan secara sistematik dan berkualiti. Selain itu, pendedahan awal mengenai budaya kerja dan keperluan syarikat akan membantu pelajar menyesuaikan diri dengan lebih baik di tempat latihan.
Sistem pemantauan berkala juga penting bagi menilai perkembangan pelajar secara konsisten, manakala bimbingan berterusan dari pihak politeknik dan syarikat dapat meningkatkan pengalaman pembelajaran mereka. Pelajar pula perlu memberi tumpuan penuh terhadap tugasan yang diberikan bagi mengasah kemahiran dalam bidang masing-masing.
Selain itu, mereka juga digalakkan untuk menggunakan kemudahan yang disediakan dengan sebaiknya, bersikap proaktif dalam pembelajaran, serta membina hubungan profesional yang baik dengan penyelia dan rakan sekerja. Ini bukan sahaja membantu dalam tempoh latihan, malah memberi kelebihan dalam membina kerjaya pada masa hadapan.