Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum W.B.T.
Alhamdulillah, segala puji dan syukur kita panjatkan kepada Allah, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad S.A.W, keluarga baginda, serta para sahabat yang sentiasa menjadi inspirasi.
Saya, Puteri Norshuhada Harris Binti Md Halim Harris, pelajar Diploma Teknologi Maklumat (Teknologi Digital), ingin merakamkan penghargaan yang tidak terhingga kepada semua pihak yang telah memberi dorongan dan bantuan sepanjang saya menjalani Latihan Industri di YTL Cement Shared Services Sdn. Bhd. Latihan industri ini berlangsung selama 5 bulan iaitu bersamaan 20 minggu, bermula dari 6 Januari 2025 sehingga 23 Mei 2025. Sepanjang tempoh ini, saya bukan sahaja berpeluang untuk menerapkan ilmu yang telah dipelajari di peringkat akademik, malah dapat menimba pengalaman berharga yang membuka mata saya tentang realiti industri.
Saya ingin menyampaikan ucapan terima kasih yang setinggi-tingginya kepada Encik Daniel Foo, selaku Chief Technology Officer (CTO) di YTL Cement Shared Services Sdn. Bhd., atas kesudian menerima saya sebagai sebahagian daripada organisasi ini. Peluang yang diberikan telah memberi saya ruang untuk mempelajari teknologi serta proses kerja sebenar dalam industri. Selain itu, penghargaan khas juga kepada Encik David Oh (Development Manager) dan Encik Lee Kah Mun (QA Lead & Product Manager), yang sentiasa membimbing saya dengan sabar, berkongsi ilmu serta pengalaman mereka, sekaligus membantu saya meningkatkan kemahiran dan pemahaman saya dalam bidang ini. Saya juga amat menghargai setiap staf di YTL Cement Shared Services Sdn. Bhd. yang banyak memberikan tunjuk ajar serta menjadikan persekitaran kerja lebih mesra dan selesa. Sokongan mereka amat membantu saya dalam menyesuaikan diri serta menjalankan tugasan dengan lebih yakin.
Tidak dilupakan juga, setinggi-tinggi penghargaan saya berikan kepada tenaga pengajar di Politeknik Sultan Idris Shah, khususnya di Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi, yang telah membimbing saya sepanjang pengajian. Asas pengetahuan yang diberikan amat membantu saya dalam memahami konsep teknologi dan aplikasi industri. Penghargaan khas juga ditujukan kepada Dr. Norliza Binti Abdullah, yang bukan sahaja memberikan bimbingan akademik, malah sentiasa menyokong dan memberi dorongan sepanjang tempoh latihan industri saya.
Akhir kata, saya amat bersyukur kerana dikelilingi oleh individu-individu yang banyak membantu dalam perjalanan pembelajaran saya. Saya bertekad untuk menggunakan segala ilmu serta pengalaman yang diperoleh bagi meningkatkan kemahiran diri dan menjadi aset kepada industri pada masa hadapan. Semoga setiap usaha dan jasa baik semua pihak diberkati oleh Allah S.W.T., dan kita semua sentiasa berada dalam limpah rahmat-Nya.
Sekian, terima kasih.